Saidina Uthman Bin Affan r.a al-Waliy al-Hafiiz al-Waliy al-Hafiiz

as-Sirah an-Nabawiyah

Sunday, February 7, 2016

Saidina Uthman Bin Affan r.a

Inilah kali pertama saya menulis serba sedikit tentang khalifah Saidina Uthman bin Affan.Kenapa disebut sebagai Khalifah ?.Kata makna khalifah adalah sebagai pemimpin.Didalam islam atau sistem pentadbiran islam,kata khalifah di berikan kepada ketua umat islam.Khalifah adalah ketua bagi semua wilayah umat islam.Selain dari itu,terdapat gabenor-gabenor yang menerima perintah dari khalifah.Contoh gabenor dimasa zaman para sahabat adalah gabenor Muawiyah r.a.
Saidina Uthman Bin Affan

Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah lima tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Beliau ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk agama Islam. Saidina Uthman r.a sebelum diutuskan Rasulullah merupakan orang yang amat kagum terhadap peribadi Nabi Muhammad s.a.w. 

Dalam perjalanan pulang dari berniaga ke Syam atau syria, beliau berehat dibawah pohon disuatu tempat yang terletak antara Ma’an dan Rizka’.Beliau lalu tertidur dan bermimpi ada orang memberitahu bahawa Ahmad (Rasulullah) telah dibangkitkan di Mekah. Dia amat gembira mendapat mimpi itu. Ketika sampai di Mekah didapati mimpinya memang benar, Nabi Muhammad s.a.w telah diutuskan oleh Allah menjadi rasul, kemudian Saidina Abu Bakar r.a telah menganut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

 Apabila Saidina Abu Bakar membisikkan kepadanya supaya memeluk Islam, beliau dengan tenang hati menerimanya. Beliau rela meninggalkan kedudukan yang mulia dikalangan kaumnya dan meninggalkan hidup mewah semata-mata kerana Islam.Beliau menemui Rasulullah SAW dan menyatakan keIslamannya, serta sedia berkorban apa jua untuk mempertahankan Islam .Rasulullah s.a.w amat menghargai masuknya islam Saidina Utsman r.a dengan menggelar sebagai Muhajir iaitu orang yang berhijrah dengan ungkapan (maksudnya),”Muhajir yang pertama selepas nabi Luth a.s. 

Sewaktu diugut oleh Hakam bin Abil’as supaya kembali kepada agama jahiliyah ,Saidina Uthman r.a tetap berpendirian tegas. Katanya ,”demi Allah saya tidak akan meniggalkan agama Allah dan tidak akan berpisah dengannya selama-lamanya”. Seorang hartawan dan dermawan ,lemah lembut,berdiplomasi,tidak mudah marah dan kuat beribadah. Beliau juga adalah salah seorang daripada sahabat Nabi yang rapat dan dijamin syurga oleh Nabi. Beliau terkenal sebagai seorang dermawan yang banyak mengorbankan harta untuk kepentingan Islam. Saidina Uthman r.a telah banyak berkorban harta benda untuk menegakkan Islam terutamanya menyerahkan harta untuk berperang menghadapi musuh.

Sebagai contoh,di dalam peperangan Tabuk mengikut kenyataan dari Ibnu Shihab Ai-Zahri, Saidina Uthman telah memberi 940 ekor unta dan 60 ekor kuda. Khuzaifah pula memberitahu Saidina Uthman datang berjumpa rasulullah menyerahkan 10 000 Dinar. Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya),”Allah telah mengampuni dosa-dosamu, Uthman! banyak yang kamu sembunyikan atau kamu nyatakan ,begitu juga apa yang terjadi sehingga hari kiamat. Beliau menyertai semua peperangan pada zaman Nabi kecuali Perang Badar. Beliau merupakan seorang juru tulis wahyu. Beliau telah diberikan gelaran Zun-Nurain yang ertinya yang memiliki dua cahaya kerana memperisterikan 2 orang puteri Nabi iaitu Ruqaiyah dan Umi Khalthum. 

Beliau berkahwin dengan Ruqaiyah dan setelah Ruqaiyah meninggal dunia, Rasulullah mengahwinkannya dengan Umi Khalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w. terhadap Saidina Uthman r.a. 

Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadanya, "Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu. Menjadi orang yang mula-mula berhijrah dalam zaman Rasullullah dan utusan Rasullulah untuk berunding dengan pembesar Mushrikin Quraisy Mekah dalam peritiwa Hudaibiah. Saidina Uthman menjadi khalifah pada usia 70 tahun selepas Saidina Umar Al-Khatab yang dibunuh pada tahun 644.

Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran ,sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Umar melantik saudaranya sebagai pentadbir jajahan baru Islam. Enam tahun pertama pemerintahannya dianggap aman manakala enam tahun terakhir pula dianggap keadaan huru-hara. 

Pengumpulan ayat al-Quran

Beliau juga berjaya menghabiskan usaha pengumpulan Al Quran yang dimulakan oleh Saidina Abu Bakar (khalifah pertama Islam). Ketika beliau menjadi khalifah, berlaku pertelingkahan dikalangan umat Islam mengenai cara bacaan Al-Quran. Disebabkan oleh itu Uthman bin Affan telah meminjam suhuf, (kumpulan penulisan Al-Quran daripada Hafsa. Selepas itu Uthman bin Affan telah memerintahkan empat orang sahabat untuk menyalin semula Al-Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman.Maka,dari sinilah bermulanya perkembangan al-Quran yang berkembang pesan dengan cepat sekali.

Kemudian,Salinan Mushaf Uthman tersebut dihantar keseluruh pusat jajahan bagi mengantikan salinan-salinan yang lain. Setelah memeluk Islam, Uthman r.a termasuk orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w. kerana kemuliaan dan kehalusan budi pekertinya.

 Memang sesungguhnya Saidina Uthman Bin Affan r.a terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat tinggi budi perkertinya, sangat penyantun, lemah lembut lagi pemalu. Sebagai memperlihatkan kecintaan dan penghargaan Rasulullah s.a.w. kepadanya itulah maka beliau telah menjadi pilihan baginda untuk dikahwinkan dengan puteri-puterinya seorang demi seorang selepas meninggal seorang lepas satunya. 

Sebagai memuji keluhuran budi akhlaknya itulah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, "Malaikat sangat malu kepadamu hai Uthman. ”Dalam suatu riwayat lain dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Aku bermohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorang pun yang pernah menjadi menantuku atau menjadi mentuaku dimasukkan ke dalam neraka.” 

Hal yang demikian itu tercapai oleh Saidina Uthman r.a kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.” Memang Rasulullah s.a.w. biasanya tidak keberatan menerima kedatangan para sahabatnya dalam berpakaian yang biasa sahaja, tetapi apakala diketahui bahawa Saidina Uthman r.a akan datang mengunjunginya, maka baginda pun mengenakan pakaiannya yang sewajarnya sebagai menghormati sahabatnya yang disegani sendiri oleh para malaikat.

Saidina Uthman r.a yang pemalu

Sebuah hadis menceritakan peribadi Saidina Uthman yang amat pemalu, maksudnya:

Aisyah r.anha bertanya kepada rasullullah s.a.w “Wahai rasullullah ! saya tidak melihat engkau berkemas untuk menerima kedatangan Abu Bakar dan Umar sebagaimana yang engkau lakukan terhadap Uthman”.

Jawab rasulullah s.a.w dengan sabdanya

 ”Uthman itu seorang yang amat pemalu dan sekiranya saya izinkan ia masuk sewaktu saya sedang baring ,tentulah ia akan malu untuk masuk dan akan kembali sebelum ia menyatakan keperluan dan sebelum saya dapat memenuhinya. Wahai Aisyah ,tidakkah saya akan malu terhadap orang yang disegani oleh malaikat?”.Orang yang paling penyayang dari kalangan umatku ialah Abu Bakar ,orang yang paling keras berpegang kepada agama ialah Umar dan orang yang paling pemalu ialah Uthman(maksud hadis).

Sewaktu pemberontak menghampiri rumahnya ,ada orang yang simpati dengan memberi tiga cadangan iaitu menentang dengan kekuatan tentera, menyelamatkan diri dan berlindung ke Mekah, menyelamatkan diri ke Syam dibawah pengaruh saudaranya Mu’awiyah r.a.

Jawab beliau tentang saranan engkau supaya aku keluar dan menentang mereka, maka demi Allah ,aku tidak mahu menjadi khalifah rasul yang pertama sekali menumpahkan darah. Tentang menyelamatkan diri ke Mekah, aku mendengar s.a.w bersabda (maksudnya): Ada seorang lelaki Quraisy yang berlindung di Mekah, padahal dengan berbuat demikian ia mendapat separuh dari seksa dunia, dan saya tidak mahu menjadi lelaki yang dikatakannya itu. Adapun pergi ke Syam, kerana disana ada Mu’awiyah, maka demi Allah ,Tidak! aku tidak akan meninggalkan tempat aku berhijrah dan berdekatan dengan rasulullah, selagi nyawa aku masih dikandung badan!.

Saidina Uthman r.a telah mati dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang diketuai oleh al-Ghiffari yang mengepung rumahnya pada 35 Zulhijjah tahun 35 Hijrah.Sesungguhnya,Saidina Uthman r.a banyak berjasa,setiap kali sesiapa pergi berumrah atau haji,maka ingkah tentang perigi zam-zam atau air zam-zam ? ia adalah hasil kebijaksanaan Saidina Uthman r.a yang membeli perigi zam-zam tersebut secara berselang seli.

Antara jasa-jasa yang lain,adalah mushaf al-Quran itu kumpul dan direkodkan agar isi-isinya tidak hilang begitu sahaja selain disampaikan kepada seluruh tanah jajahan islam.Usaha-usaha ini,sebenarnya sangat sukar,selain menjaga ketelitian dan memelihara kandunganya,ia juga perlu memastikan al-Quran itu disampaikan kepada seluruh umat islam,agar masing-masing menerimanya dengan baik.

No comments:

Post a Comment

Makluman Kepada Pembaca,jika terdapat kesilapan/kesalahan didalam ayat/laman ini sila maklumkan kepada kami/tinggalkan komen untuk kami betulkan dengan segera.Terima Kasih.