Tips Permakanan Pesakit Dalam Wad
Baru-baru ini saya ada ditanya tentang apakah akan ada kesan-kesan samping jika pelawat atau waris (ahli keluarga pesakit) memberikan makanan kepada pesakit yang telah menjalani tempoh pembedahan di hospital.Dengan susulan itu,saya mencari sebuah artikel yang lengkap mengenai hal berkaitan tersebut.Maka harus berterima kasih kepada seorang Jururawat (JT) yang bukan sahaja merawat pesakit,malahan berkongsi dan menyiapkan artikel menerusi penulisanya untuk kita.
“Misi, kenapa ayah saya (pesakit) tak boleh makan?”
Acapkali apabila kita mendengar khabar bahawa ada seorang kenalan atau ahli keluarga kita jatuh sakit dan dimasukkan ke wad, fitrah dalam diri kita adalah untuk melawat dan bertanya khabar kepada pesakit tersebut sekerap yang mungkin.
Dan juga menjadi lumrah dan norma untuk kita membawa beberapa buah tangan kepada pesakit sebagai suatu tanda ingatan dan harapan untuk pesakit lekas sembuh. Budaya membawa buah tangan ini adalah suatu perkara yang digalakkan oleh dalam Islam melalui adab menziarahi pesakit dan juga suatu adat budaya kita sebagai rakyat Malaysia.
Namun begitu, terdapat beberapa garis panduan tentang apa yang perlu kita bawa untuk pesakit, terutamanya dari segi makanan.
Dapatkan pengesahan doktor
Sebelum kita nak bawa apa jua buah tangan sekalipun, kita harus dapatkan pandangan dan pengesahan doktor yang terlibat dalam perawatan pesakit. Ini adalah kerana kita nak pastikan bahawa buah tangan yang kita bawa itu (sama ada makanan atau barangan) tidak akan menjejaskan keadaan pesakit sehingga menjadi lebih teruk. Sebagai contoh, pesakit mungkin mempunyai alahan terhadap beberapa jenis makanan tertentu, alahan terhadap debunga, infeksi (Jangkitan) yang diperolehi dari luar dan juga perkara (Bawaan dari luar) yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal pesakit terhadap perawatan yang sedang dijalankan. Sebarang nasihat dan larangan seorang doktor adalah berasaskan pengetahuan dan pengalamannya terhadap kesihatan dan penyembuhan pesakit. Sebagai contoh mudah, jika doktor melarang kita untuk membawa air kosong dari rumah, ini mungkin bermakna pesakit mudah atau telah terjejas dengan pencemaran air di kawasan rumah dan kediamannya.
Pesakit yang berpuasa
Sebahagian pesakit yang telah dimasukkan ke wad mungkin akan menjalani satu fasa berpuasa atau kita panggil, nil by mouth (NBM). NBM ini bukanlah suatu proses yang dijalankan sama seperti seseorang individu berpuasa di bulan Ramadhan. Istilah NBM ini lebih merujuk kepada larangan pemberian makanan atau minuman menerusi mulut (oral), hidung (nasal) dan saluran di perut (gastro). Ia bertujuan untuk :
- Mengosongkan perut
- Mengelak aspirasi (kemasukan makanan atau minuman kedalam paru-paru)
- Merehatkan aktiviti gastrousus (salur pemakanan)
- Elak kontraindikasi dan komplikasi perawatan
- Pra-pembedahan dan pasca-pembedahan
Bagi kes NBM ini, pesakit sememangnya dilarang mengambil sebarang makanan dan minuman, walaupun dalam kuantiti yang sedikit, melainkan dengan kebenaran doktor, jururawat atau pakar pemakanan (dietitian). Pelbagai komplikasi boleh berlaku kepada pesakit sekiranya fasa NBM ini diabaikan. Malang sekali, terdapat sebilangan ‘pakar’ di luar sana yang memberi pesakit makanan dan minuman secara ‘seludup’ akibat daripada perasaan kasihan. Namun tidak mereka mengetahui bahawa seandainya makanan tersebut masuk ke dalam paru-paru pesakit, kesannya adalah amat teruk dan pesakit besar kemungkinan memerlukan intubasi (kemasukan tiub pernafasan) dan mesin pernafasan mekanikal. Usah risau, NBM hanya dilakukan mengikut tempoh masa tertentu sahaja. Selesai fasa NBM ini, pesakit akan dibenarkan makan dan minum sesuai dengan keadaan pesakit.
Had pemakanan
Ada juga beberapa kes yang memerlukan pesakit untuk diberi makanan dan minuman pada kadar terhad. Lazimnya ia digelar sebagai restiction of fluid (ROF) dan seringkali dilakukan kepada pesakit yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan serta pesakit obes. Ini adalah untuk mengawal berat badan, kandungan cecair didalam badan supaya ia tidak menjejaskan fungsi sistem badan yang normal. Setiap pengeluaran dan pengambilan cecair (dan makanan) oleh pesakit akan dicatit dan direkod secara terperinci. Sebagai contoh, pesakit yang mempunyai masalah kegagalan jantung perlu dihadkan pengambilan cecair bagi mengurangkan bebanan jantungnya untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Jenis pemakanan yang sesuai
Sesetengah pesakit memerlukan pelan diet (pemakanan) yang sesuai dengan diri dan kesihatannya. Sebagai contoh, pesakit yang mempunyai masalah kencing manis tidak boleh mengambil makanan manis (melainkan dalam keadaan hypo), pesakit darah tinggi tidak boleh mengamalkan diet tinggi kandungan garam, pesakit gout tak boleh mengamalkan diet makanan laut, pesakit obes perlu mengawal kandungan peratusan karbohidrat dalam diet, dan sebagainya. Ini adalah untuk memastikan pemakanan pesakit tidak akan menjejaskan kesihatan dan penyembuhan pesakit untuk jangka masa pendek dan panjang. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum kita beri pesakit makan makanan yang dibawa dari luar.
Ubatan suplemen luar
Dalam zaman serba canggih ini, terdapat pelbagai jenis suplemen yang mendakwa mampu memberikan kesihatan optimum kepada pesakit. Ada yang kata ia mampu menyembuhkan masalah jantung, kegagalan ginjal, kencing manis, angin ahmar dan banyak lagi. Namun, disebalik ‘keajaiban’ produk ini, kebanyakan daripadanya adalah produk yang dihasilkan tanpa sebarang pengawalan rapi, bahan terlarang dan merbahaya, mempunyai campuran yang meragukan, serta tidak mendapat jaminan dan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kebanyakan produk ini juga sebenarnya menawarkan satu kebaikan diselindung sepuluh kemudaratan. Oleh kerana itulah, kami menegaskan supaya tidak mengambil sebarang suplemen tanpa pengetahuan doktor, terutamanya jika anda atau kenalan anda sedang menjalani rawatan di institusi kesihatan. Ini adalah kerana suplemen yang diambil berkemungkinan besar akan mengganggu sistem badan, menjejaskan perawatan yang dijalani serta mengakibatkan kesan sampingan yang tidak boleh dikendali. Juga, jangan sesekali mencampurkan pelbagai jenis suplemen dalam amalan pemakanan anda. Ia bagaikan mencampurkan racun dan toksik dalam badan anda.
Pantang larang dan makanan yang digalakkan
Pengamalan Pantang larang dan tradisi turun-temurun sebenarnya telah lama sinonim dengan gaya hidup kita sebagai rakyat Malaysia.Namun begitu, masih banyak lagi amalan dan pantang-larang yang masih tidak dapat dikenalpasti kesahihan dan keberkesanannya dari sudut perubatan.Pihak hospital hanya akan menggalakkan amalan yang telah dikenalpasti sifat perubatannya demi kesihatan pesakit. Sebagai contoh, amalan mengambil minuman 100 Plus dan jus pucuk betik merupakan satu diet yang digalakkan bagi pesakit denggi. Ini adalah kerana air 100 Plus didapati mampu meningkatkan kadar elektrolit dalam darah, dan jus pucuk betik telah dikaji mampu meningkatkan bilangan platelet dalam darah. Ia bukanlah satu jaminan 100% namun ia bersifat membantu dalam meningkatkan keberkesanan perawatan.
Begitu juga dengan kes makanan tinggi protein (contohnya telur) bagi pesakit yang mengalami luka (pembedahan ataupun trauma). Secara saintifiknya, protein membantu dalam penyembuhan luka dan pembentukan sel yang tercedera. Namun begitu, terdapat sebilangan masyarakat yang berpendapat bahawa makanan seperti telur akan mengakibatkan kegatalan pada luka. Maka, apa yang digalakkan oleh pakar kesihatan adalah untuk mengesyorkan makanan tinggi protein yang lain seperti daging dan isi ikan.
Pengamalan pantang larang dan tradisi ini bukanlah suatu perkara yang dianggap salah, namun ia lebih digalakkan untuk dipraktikkan hanya selepas pesakit telah sembuh dan telah dibenarkan balik ke rumah.
Rujukan:Anwari Hamzah
No comments:
Post a Comment
Makluman Kepada Pembaca,jika terdapat kesilapan/kesalahan didalam ayat/laman ini sila maklumkan kepada kami/tinggalkan komen untuk kami betulkan dengan segera.Terima Kasih.